Friday, 7 March 2014

politik islam

Pendahuluan
            Dalam fiqh Islam, ketua negara atau pemimpin umat Islam disebut dengan beberapa nama seperti Khalifah, Imamatul Kubra (pemimpin utama atau tertinggi), Al-Imam, Waliyyul Amr, Imaratul Mukminin atau Amirul Mukminin, Imam al-Muslimin, Sultan, dan Al-Malik (raja). Kemudian, di bawah pemimpin tertinggi akan ada pula wakil-wakil pemimpin, para pembantunya, menteri-menteri, wali kota, garbenor, panglima, dan selainnya yang dilantik oleh pemimpin pertama (tertinggi).
            Memilih seorang pemimpin (muslim) bagi menguruskan hal ehwal umat Islam dalam sesebuah negara hukumnya adalah wajib berdasarkan al-Qur’an, as-Sunnah dan ijma’ ulama. Tugas pemimpin umat Islam secara umum adalah untuk menjaga urusan agama dan dunia.
Al-Khaththabi rahimahullah menyebutkan:
“Yang dimaksudkan dengan pemimpin umat Islam adalah para khalifah dan selainnya dari kalangan para pemimpin yang memegang tanggungjawab menguruskan hal-ehwal umat Islam (masyarakat).” (Syarah Shahih Muslim, 2/38)
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Setiap kamu adalah pemimpin, dan setiap daripada kamu akan ditanya berkenaan kepimpinannya. Seseorang amir (pemimpin) yang menguruskan hal ehwal masyarakat adalah pemimpin, dan ia akan disoal berkenaan urusan kepimpinannya.” (Hadis Riwayat at-Tirmidzi, Sunan at-Tirmidzi, Hadis hasan sahih)
            Syaikh ‘Abdus Salam B. Barjas rahimahullah telah menggariskan beberapa kaedah dalam menentukan siapakah dia pemimpin (bagi umat Islam), yang mana ia perlu ditaati, dihormati serta mendapat hak-haknya sebagai pemimpin atau pemerintah. Berikut disimpulkan kaedah-kaedah tersebut secara ringkas yang diambil dari buku beliau Mu’ammalatul Hukkam fii Dhaw al-Kitab wa as-Sunnah, pada bab fii Qowa’id Tata’allaq bil Amanah :

Ø  Sesiapa sahaja dari kalangan umat Islam yang memiliki kedaulatan atau kuasa mentadbir masyarakat atau rakyat. Sama ada dari sudut perundangan, kuasa, kekuatan, sokongan rakyat, ataupun ketenteraan.

Ø  Sesiapa sahaja dari kalangan umat Islam yang telah dipilih, atau telah menang dan memegang kuasa pemerintahan, maka dia adalah pemimpin yang wajib ditaati dan dihormati, tidak boleh dilawan, dan tidak boleh keluar dari ketaatan kepadanya. Samada dia mencapai kerusi kepimpinan tersebut secara syar’i atau sebaliknya.

Ø  Walaupun pemimpin tersebut tidak memenuhi syarat-syarat kelayakan sebagai seorang pemimpin yang sah, namun apabila dia telah memegang kekuasaan dalam pemerintahan, maka wajib untuk ditaati dan haram menentangnya.

Ø  Dibolehkan bagi setiap negara, atau wilayah tertentu memiliki pemimpin masing-masing tanpa terikat dengan wilayah yang lain apabila ianya telah berlaku. Setiap masyarakat atau rakyat perlu mentaati pemimpin tertinggi dan wakil-wakilnya bagi wilayah atau negaranya masing-masing.

Imam asy-Syaukani rahimahullah ketika menafsirkan firman Allah Subhanhu wa Ta’ala, surah an-Nisa’ ayat 59, beliau menyatakan:

“Ulil amri adalah para imam, sultan, qadhi, dan setiap orang yang memiliki kekuasaan syar’iyyah, bukan kekuasaan thaghutiyyah.” (Imam asy-Syaukani, Fathul Qadir, 2/166)

“Para ulama mengatakan bahawa yang dimaksudkan dengan ulil amri di sini adalah orang yang Allah wajibkan kepada kita untuk taat kepadanya, iaitu mereka yang memegang kekuasaan dan memimpin. Ini adalah perkataan jumhur ulama salaf dan khalaf daripada kalangan ahli tafsir, fuqaha’ (ulama fiqh), dan selainnya. Dan ada yang menyatakan ia adalah ulama. Dan ada pula pendapat lain menyatakan ia adalah pemimpin dan ulama. Adapun yang menyatakan bahawa yang dimaksudkan sebagai ulil amri di sini adalah para sahabat sahaja, maka pendapat ini adalah tertolak.” (Syarah Shahih Muslim, 12/224)

Syaikh al-Islam Ibnu Taimiyyah rahimahullah (Wafat: 728H) menyebutkan:

“Sesungguhnya Nabi SAW telah memerintahkan supaya taat kepada imam (pemimpin) yang sah (yang wujud), yang diketahui, yang memiliki (memegang) kuasa perundangan untuk mentadbir urusan masyarakat. Tidak ada ketaatan bagi pemimpin yang tidak wujud, yang tidak diketahui (atau tidak diiktiraf) sebagai pemimpin, dan yang tidak memiliki jawatan (kuasa) kepimpinan ke atas segala sesuatu yang mana secara asalnya tidak ada ketaatan bagi orang yang tidak memiliki kekuasaan dan tidak memiliki kemampuan apapun.” (Ibnu Taimiyyah, Minhajus Sunnah an-Nabawiyah, 1/115 - Mu’assasah al-Qurthubah)

            Ibnu Baththal berkata, “Para fuqaha’ telah sepakat (ijma’) berkenaan kewajiban mentaati sultan (pemerintah) yang memiliki kuasa, walaupun dia mendapat kuasa tersebut dengan cara rampasan atau pemberontakan (mutaghallib), dan hendaklah kita berjihad bersama-samanya. Ini adalah kerana ketaatan kepadanya lebih baik dari keluar meninggalkan ketaatan kepadanya (dengan mengambil sikap membangkang atau memberontak), yang dengannya mampu memelihara darah dan menenangkan orang ramai (masyarakat). Tidak ada pengecualian dalam perkara ini, melainkan apabila sultan melakukan kekafiran yang nyata.”.” (Ibnu Hajar, Fathul Bari, 13/7)

            Sebagaimana juga perkataan Ibnu Qudamah rahimahullah (Wafat: 620H), “Apabila naiknya Abdul Malik B. Marwan dengan cara keluar menentang Ibnu az-Zubair, membunuhnya, memaksa rakyat dengan pedang hingga dia naik sebagai imam (pemimpin) dan diberikan bai’ah, maka wajib pula mentaati pemerintah yang mutaghallib (yang naik dengan cara yang tidak syar’i) ini.” (Ibnu Qudamah, al-Mughni, 8/526)
Melantik Pemimpin

            Kewujudan seorang pemimpin bagi umat Islam adalah suatu keperluan. Ini bertujuan menjaga urusan dan kemaslahatan hal-ehwal umat Islam seperti menjaga keamanan, perpaduan, mengawal serangan musuh, menegakkan agama, menegakkan undang-undang, dan seumpamanya.

            Dalam al-Ahkam as-Sulthaniyah Imam al-Mawardi menyatakan bahawa pemimpin dilantik bertujuan menggantikan Nabi SAW dalam urusan menjaga agama dan mentadbir urusan umat Islam. Jadi, menjadi kewajiban untuk melantik pemimpin yang mampu memikul tanggungjawab dalam urusan tersebut.

Syaikh al-Islam Ibnu Taimiyyah rahimahullah (Wafat: 728H) berkata:

“Wajib diketahui bahawa melantik pemimpin bagi urusan masyarakat adalah kewajiban agama yang besar. Urusan keduniaan mereka tidak dapat ditegakkan tanpa ada pemerintahan (pemimpin). Kemaslahatan bani Adam tidak dapat dicapai melainkan dengan berhimpunnya mereka (masyarakat) di bawah seorang pemimpin, yang mana di antara mereka saling memerlukan di antara satu dengan yang lainnya.

Sehingga Nabi SAW bersabda yang bermaksud :

“Sekiranya kamu keluar di dalam perjalanan (safar) seramai tiga orang, maka hendaklah kamu lantik salah seorang di antara kamu sebagai ketua.” Hadis Riwayat Abu Daud daripada Abu Sa’id dan Abu Hurairah.

            Melalui hadis ini, Rasulullah SAW telah mewajibkan supaya melantik seorang ketua mengetuai satu kumpulan tertentu bagi sesuatu perjalanan. Perintah ini juga dilaksanakan dalam apa jua organisasi yang mana manusia berhimpun di dalamnya.

            Allah SWT telah mewajibkan amar ma’ruf nahi mungkar (berdakwah). Perkara ini tidak mungkin berlaku tanpa kekuatan dan kuasa pemerintahan. Begitu juga dengan perkara lain yang diwajibkan oleh Allah SWT seperti jihad, menegakkan keadilan, menunaikan ibadah haji, solat Juma’at, solat hari raya, membantu mereka yang dizalimi serta melaksanakan hudud (perundangan), yang mana semua ini tidak mungkin berlaku tanpa kekuatan dan kuasa pemerintahan. Perkara ini telah diriwayatkan dalam hadis :

“Sesungguhnya pemimpin itu adalah bayangan Allah di atas muka bumi ini.”

Diriwayatkan juga :

“Hidup selama enam puluh tahun di bawah pemerintahan yang zalim itu lebih baik daripada satu malam tanpa ada pemerintah.”


            Ulama salaf seperti al-Fudhail B. Iyadh dan Ahmad B. Hanbal pernah berkata, “Sekiranya kami memiliki doa yang mustajab, nescaya akan kami gunakannya untuk mendoakan pemimpin.”


Nabi SAW bersabda yang bermaksud :

“Bahawasanya Allah meredhai bagi kamu tiga perkara, iaitu hendaklah kamu mengabdikan diri kepada-Nya dan tidak mensyirikkan-Nya dengan sesuatu apa pun, hendaklah kamu berpegang teguh kepada tali Allah dan jangan kamu bercerai-berai, dan hendaklah kamu memberi nasihat kepada orang-orang yang dipertanggungjawab oleh Allah mentadbir urusan kamu.” Diriwayatkan oleh Muslim.

Dan sabdanya :

“Tiga perkara yang dengannya hati seseorang Muslim tidak ditimpa dengki adalah mengikhlaskan amal kerana Allah, memberi nasihat kepada para pemimpin umat Islam, dan berpegang kepada jama’ah umat Islam, kerana doa mereka mengelilingi dari belakang.” Diriwayat oleh ahli Sunan.

Dan juga di dalam ash-Shahih beliau bersabda :

“Agama adalah nasihat, agama adalah nasihat, agama adalah nasihat.” Para sahabat bertanya, “Untuk siapa wahai Rasulullah?” Beliau menjawab, “Untuk Allah, Kitab-Nya, Rasul-Nya, para pemimpin umat Islam, dan untuk umat Islam.” Maka adalah suatu yang wajib untuk melantik pemimpin. Ia termasuk bentuk perbuatan mendekatkan diri kepada Allah. Bahawasanya mendekatkan diri kepada Allah melaluinya dengan cara mentaati Allah dan Rasul-Nya adalah sebaik-baik taqarrub.” (Majmu’ al-Fatawa, 28/390-391)

            Melantik seorang pemimpin merupakan satu kewajiban yang mana ia telah ditentukan oleh syara’ berdasarkan ijma’ (kesepakatan) para sahabat dan tabi’in. Ini berdasarkan peristiwa wafatnya Rasulullah SAW yang mana, para sahabat segera berbai’at pada Abu Bakar serta menyerahkan urusan kepimpinan (pentadbiran) kepadanya. Sepanjang perjalanan sejarah umat Islam, tidak pernah masyarakat Islam dibiarkan begitu sahaja tanpa dipimpin oleh pemimpin. Keadaan ini terus berkekalan sehingga hari ini, Ini membuktikan bahawa kehadiran seorang pemimpin untuk mentadbir urusan umat Islam amat penting. Selain bagi memastikan setiap urusan dapat berjalan dengan baik, ia juga untuk mengelakkan daripada berlakunya huru-hara, kacau-bilau, pertelingkahan, dan seumpamanya.

Dalam Islam, pemimpin dilantik dengan cara:

Ø  Isyarat daripada nash (hadis-hadis) sebagaimana dilantiknya Abu Bakar setelah kewafatan Rasulullah SAW.

Ø  Pemilihan oleh Ahlul halli wal ‘aqd (ahli syura atau para ulama).

Ø  Isyarat atau perlantikan dari pemimpin sebelumnya. Sebagaimana Abu Bakar mengisyaratkan ‘Umar untuk menjadi khalifah setelahnya.

Ø  Perwarisan, sebagaimana Nabi Sulaiman mewarisi Nabi Daud. Juga sebagaimana Yazid mewarisi kepimpinan Mu’awiyah. Kemudian, Yazid mewariskan kepada anaknya.

Ø  Kepimpinan juga boleh berlaku dengan cara yang tidak syar’i, seperti melalui pemberontakan, rampasan kuasa, atau paksaan. Pemberontakan dan rampasan kuasa dilarang (haram) di sisi Islam, tetapi sekiranya ia telah berlaku dan pemberontak berjaya meraih kuasa kepimpinan maka, mereka tetap wajib ditaati (sebagaimana syarat-syarat yang telah atau bakal dijelaskan). Mereka berdosa atas perbuatan mereka (sebagai pemberontak) dan itu urusan mereka dengan Allah.

            Adapun mentaati mereka telah ditetapkan berdasarkan dalil-dalil syara’ yang jelas, berdasarkan ijma’ (kesepakatan para ulama), dan bertujuan mengutamakan maslahah serta menolak mudharat yang lebih besar lagi.

            Pada hari ini, pemerintah mungkin dilantik melalui kaedah demokrasi pilihanraya. Kaedah-kaedah yang dipraktikkan oleh sistem demokrasi ini telah melahirkan banyak perbahasan dan kritikan daripada kalangan ulama ahlus sunnah wal-jama’ah kontemporari. Di antara tulisan yang baik yang menjelaskan sistem demokrasi pilihanraya dari sudut pandangan Islam adalah melalui buku berjudul Tanwir azh-Zhulumat bi Kasyif Mafasid wa Syubuhat al-Intikhabaat oleh Syaikh Abu Nashr Muhammad B. ‘Abdillah al-Imam. Buku ini turut mendapat pengiktirafan daripada Syaikh al-Allamah al-Muhaddis Muqbil B. Hadi al-Wadi’i rahimahullah.

            Asas sejarah politik demokrasi yang diamalkan kebanyakan negara dunia pada hari ini berasal dari tamadun Yunani Greek. Ia memiliki slogan, “Dari rakyat, untuk rakyat, kerana rakyat.” Sebaliknya, politik Islam secara umumnya adalah “Dari Allah, untuk Allah, kerana Allah.”

            Sistem demokrasi pilihanraya membuka ruang kepada setiap lapisan masyarakat untuk terlibat di dalam pemilihan atau perlantikan pemimpin bagi sesebuah negara Islam. Sehingga sesiapa sahaja samada yang muslim atau yang kafir, yang berilmu atau yang jahil, yang amanah atau yang adil, yang soleh atau yang fasiq, yang berpendidikan atau sebaliknya, diberikan hak begitu sahaja untuk terlibat secara langsung melantik siapa sahaja pemimpin yang mereka cenderungi.

            Sedangkan dalam Islam, pemilihan pemimpin bukan perkara kecil. Ia melibatkan kriteria kelayakan dan kemampuan yang benar-benar diakui untuk tugasnya menjaga agama dan mengurus masyarakat. Jadi, pemilihan pemimpin tidak boleh begitu mudah diperjudikan dan diserahkan kepada sesiapa sahaja untuk membuat pilihan.

            Walaupun kaedah pemilihan melalui sistem demokrasi ini tidak syar’i berdasarkan pendapat yang kuat dan sahih, tetapi barisan pemimpin yang telah mendapat mandat dan kuasa kepimpinan melaluinya tetap wajib untuk ditaati sebagaimana dijelaskan dalam cara ke-5 di atas tadi.

            Wallahu a'lam - Analogi mudah yang mungkin boleh disebutkan ini sama situasinya dengan hukum merampas tunangan orang adalah haram, tetapi apabila perkahwinan telah berlangsung (dengan tunangan orang tersebut), perkahwinan tersebut tetap dianggap sah.

Tanggungjawab Para Pemimpin Umat Islam
                Pertamanya para pemimpin perlu memiliki sifat amanah yang tinggi dan memiliki kekuatan atau keupayaan untuk mentadbir. Secara umum, tanggungjawab pemimpin umat Islam yang paling utama adalah menyatukan rakyatnya di bawah agama yang bersih dan murni. Pemimpin perlu bertindak memelihara agama dan mempertahankan kemurnian Islam dengan menegakkan keadilan berteraskan tauhid yang benar. Iaitu memberi nasihat dan berusaha membawa masyarakat kepada pengabdian diri kepada Allah SWT dengan jalan yang syar’i.

Sabda Rasulullah SAW :

“Tidaklah seorang hamba yang diangkat oleh Allah sebagai pemimpin ke atas orang-orang yang dipimpinnya, kemudian ia tidak menjaga mereka dengan nasihatnya, melainkan ia tidak akan mencium aroma (wanginya) Syurga.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

            Dengan selesainya persoalan asas-asas agama, masyarakat akan lebih mudah untuk dibentuk dan mengikut arahan. Maka, perpaduan dan pentadbiran negara akan berjalan dengan lebih lancar dan sempurna.

            Selain itu, urusan-urusan utama dalam agama seperti solat berjama’ah, hari raya, penyebaran ilmu yang benar, zakat, urusan haji dan sebagainya perlu disemarakkan dan dimakmurkan.

            Pemimpin bertanggungjawab menjaga hal-ehwal keselamatan, perundangan (termasuk perlaksanaan syari’at hudud), menjaga ekonomi negara, dan keperluan rakyatnya yang bersesuaian dengan agama, memerangi orang-orang yang menentang Islam dan ahli bid’ah. Pemimpin perlu dibantu oleh para ulama (para ilmuan) dalam bidang masing-masing bagi memperkukuhkan kebaikan-kebaikan demi kepentingan bersama dan bagi meraih keredhaan Allah Subhanahu wa Ta’ala.

Imam al-Hasan al-Bashri rahimahullah menyatakan berkenaan kepimpinan umat Islam:

“Mereka menguasai kita dalam lima perkara, iaitu solat Juma’at, al-jama’ah (kesatuan umat), hari raya, benteng pertahanan, dan perundangan. Demi Allah, agama ini tidak akan tertegak melainkan dengan kewujudan mereka, walaupun mereka melakukan keburukan dan kezaliman. Demi Allah, Allah menjadikan kebaikan dengan perantaraan mereka lebih banyak berbanding kerosakkan dengan sebab mereka. Ketaatan kepada mereka adalah suatu yang terpuji dan memisahkan diri daripada mereka adalah kekufuran.” (Ibnul Jauzi, Adab al-Hasan al-Bashri, m/s. 121. Rujuk: Jami’ al-‘Ulum wa al-Hikam, m/s. 262. ‘Abdussalam B. Barjas, Mu’ammalatul Hukkam fii Dhau’il Kitab wa as-Sunnah, m/s. 2)

Ciri-ciri Penting yang Wajib bagi Seseorang yang Menjawat Jawatan Khalifah

            Kita telah mengetahui bahawa, kepimpinan amat penting, dan juga merupakan amanah yang amat besar, apatah lagi memimpin ummat Islam. Sebarang kesilapan ataupun kecuaian, hanya akan memberi kesan yang amat buruk dan dahsyat dan menjadi bencana kepada ummat keseluruhannya.

            Para Ulama’ dan Fuqaha’ telah memberikan panduan yang secukupnya kepada kita. Di antaranya adalah tidak harus dipilih pemimpin melainkan daripada kalangan mereka yang berikut:

Ø  Lelaki
Ø  Muslim, baligh dan berakal
Ø  Ilmu yang mencukupi (munasabah pada tanggungjawab/jawatan/peranan/fungsi)
Ø  Adil
Ø  Yang bebas (bukan hamba)

            Syarat-syarat ini telah diperketatkan lagi dengan beberapa perkara dan diperkemaskan lagi tafsiran-tafsiran syarat di atas, menurut jawatan/ peranan yang dikehendaki. Para Ulama’ juga menerangkan bahawa, oleh kerana pemimpin bagi ummat Nabi Muhammad SAW adalah penyambung perjuangan dan kepimpinan Baginda Nabi SAW, maka syarat-syarat amanah,fathanahsiddiq dan tabligh mestilah dipunyai oleh kepimpinan Islam.

            Selain itu, ada syarat-syarat lain yang mesti diambil perhatian iaitu keahlian/ kebolehan yang baik dari segi kepakaran, pengalaman dan kesempurnaan anggota pancainderanya yang lima.

            Menjadi pemimpin, bererti berkuasa, dan kekuasaan yang ada hendaklah digunakan untuk kebajikan semata-semata dan seorang pemimpin Islam mestilah baik dan selamat daripada sifat tamak haloba. Pemimpin juga mestilah menjauhi daripada segala yang boleh meragukan.

            Menyedari hakikat bahawa kepimpinan merupakan satu tanggungjawab yang sangat besar serta mengggerunkan, maka, para Ulama’ telah meletakkan sifat-sifat yang tertentu yang sepatutnya ada pada seorang pemimpin. Ini kerana, pemimpin adalah contoh ikutan atau qudwah kepada anggota dan orang lain. Manakala, contoh ikutan terbaik untuk seseorang pemimpin ialah diri RasuluLlah SAW sendiri.

Firman Allah SWT di dalam Surah al-Ahzab, ayat ke-21 :

لَّقَدۡ كَانَ لَكُمۡ فِى رَسُولِ ٱللَّهِ أُسۡوَةٌ حَسَنَةٌ۬ لِّمَن كَانَ يَرۡجُواْ ٱللَّهَ وَٱلۡيَوۡمَ ٱلۡأَخِرَ وَذَكَرَ ٱللَّهَ كَثِيرً۬ا
“Sesungguhnya telah ada pada (diri) RasuluLlah itu suri teladan yang baik bagimu, (iaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (berIman kepada) hari Kiamat dan dia banyak menyebut (mengingati) Allah”

Ciri-ciri, sifat dan akhlak yang perlu ada pada seseorang pemimpin adalah :

Ø  Ikhlas kerana Allah dan benar-benar mahu keredhaanNya dalam setiap gerak kerja. Tanpa Ikhlas, maka sia-sialah segala usaha dan tidak dipandang Allah SWT kelak dan hendaklah membersihkan daripada sifat, riya’, ‘ujub, mahukan kedudukan pangkat dan sanjungan.

Ø  Fikiran yang cerdas, bijaksana, pengalaman dan pengetahuan yang luas, cepat memahami masalah, tidak pelupa, tidak buntu waktu gawat.

Ø  Tenang, tidak pemarah, bertimbang rasa, pengasih dan lemah lembut.

Ø  Berani dan bermaruah, tidak penakut, tidak pula gopoh. Sebaik-baik keberanian adalah berterus terang di atas kebenaran dan sanggup menyembunyikan rahsia yang diamanahkan padanya, mengakui kesalahan sekiranya dia bersalah dan menginsafi diri sendiri.

Ø  Bercakap benar dalam apa jua keadaan. Seorang pemimpin hendaklah hormat menerima dan menyampaikan berita yang diterima.

Ø  Sifat Tawadhu’ dan merendah diri terhadap orang-orang Mu’min.

Firman Allah SWT di dalam Surah al-Maidah, ayat ke-54 :


فَسَوۡفَ يَأۡتِى ٱللَّهُ بِقَوۡمٍ۬ يُحِبُّہُمۡ وَيُحِبُّونَهُ ۥۤ أَذِلَّةٍ عَلَى ٱلۡمُؤۡمِنِينَ أَعِزَّةٍ عَلَى ٱلۡكَـٰفِرِينَ ٌ

“..kelak Allah akan mendatangkan satu kaum, Dia menyintainya dan mereka menyintaiNya, mereka bersikap lemah lembut, merendah diri kepada orang yang berIman, dan bersikap keras, tegas kepada orang-orang Kafir.. ”


Ø  Menunaikan janji.

Ø  Sabar kerana perjalanan Da’wah adalah perjalanan yang tersangat panjang, yang mestilah dipimpin oleh mukmin yang mempunyai kesabaran yang tinggi dan cekal menempuh jalanan perjuangan.




Firman Allah SWT, di dalam Surah Ali-Imran, ayat ke-200 :

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ ٱصۡبِرُواْ وَصَابِرُواْ وَرَابِطُواْ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَ لَعَلَّكُمۡ تُفۡلِحُونَ

“Wahai orang-orang berIman, bersabarlah, dan pertahankanlah kesabaran serta tetaplah di pengkalan dan bertaqwalah kepada Allah mudah-mudahan kamu berjaya”

            Bukankah SA Umar bin Abdul Aziz begitu hebatnya pemerintahannya, sedangkan baginda memerintah dalam jangka masa yang cukup singkat, tidak lain kerana 2 asas penting yang dipegangnya. Pertama, berIman dengan sebenar-benarnya kepada Allah SWT, mengetahui bahawa kita hanyalah Khalifah Allah yang diberi amanah untuk menegakkan agama dan mengurus dunia dengannya. Kedua, rasa bertimbang rasa, pengasih dan lemah lembut yang sangat tinggi yang ada pada baginda.

            Baginda pernah bertitah, “Apakah yang akan aku jawab pada Allah, andai kiranya ada keldai di Baghdad yang kakinya terperosok ke dalam lubang jalan yang rosak, akibat kelalaian aku melaksanakan amanah..”

            Pada hakikatnya, masih banyak ciri-ciri yang perlu ada pada pimpinan Islam, termasuklah ciri-ciri atau akhlak umumi muslim yang dituntut ke atas seorang pemimpin Islam. Antaranya, ihsan kepada golongan yang lemah, memelihara silaturrahim, memuliakan anak yatim dan miskin, pemalu, menjauhkan diri daripada berkata-kata secara kasar, menguasai teknik berpidato dan menarik perhatian, menjauhkan diri daripada perkara bidaah dan syubhah, melazimi amalan Sunnah, berwaspada, bertimbang rasa, tidak memberat-beratkan atau terlalu cuai dan sebagainya.

            Semua ini amat penting ke atas seseorang pimpinan Islam, kerana kedudukan pemimpin Islam terutamanya di dalam harakah Islam amat tinggi.

            Imam Hassan al-Banna telah berpesan di dalam Risalah Taalim, “yang saya maksudkan dengan Thiqah ialah keyakinan seorang Jundi (pendakwah)  kepada Qiyadi (pemimpin) nya pada kemampuan dan keikhlasannya, dengan keyakinan yang mendalam sehingga akan lahirnya perasaan kasih, penghargaan, penghormatan dan ketaatan”

            Kata as-Syahid lagi “Qiadah merupakan sebahagian daripada Da’wah. Da’wah tidak akan wujud tanpa Qiadah. Kekuatan sistem jemaah, kekemasan strateginya, kejayaannya menuju matlamat dan keupayaannya menghadapi segala bentuk halangan serta kesusahan bergantung kepada sejauh mana timbal balik Thiqah di antara Qiadi dan Jundi”

“Dalam Da’wah, qiadah mempunyai hak seorang bapa dari sudut ikatan hati, hak seorang Ustaz dari sudut memberi ilmu, hak seorang Syeikh dari sudut pendidikan Rohani dan hak seorang pemimpin di sudut siasah dan polisi umum Da’wah, da’wah kita merangkumi semua makna-makna ini”

            Justeru atas kedudukan yang sebegini tinggi, yang diamanahkan kepada pimpinan maka, tidak wajarlah amanah kepimpinan diletakkan pada orang-orang yang tidak amanah dan tidak layak.

Pemimpin Adalah Perisai Umat Islam
Rasulullah SAW bersabda:
“Sesungguhnya seorang pemimpin itu adalah perisai, rakyat akan berperang di belakangnya serta berlindung dengannya. Apabila ia memerintahkan untuk bertaqwa kepada Allah ‘Azza wa Jalla serta bertindak adil, maka ia akan mendapat pahala. Tetapi jika ia memerintahkan dengan selain itu, maka ia akan mendapat akibat buruk hasil perbuatannya.” (Hadis Riwayat Muslim)
Imam an-Nawawi rahimahullah (Wafat: 676H) menjelaskan:
“Maksud menjadi perisai di sini adalah sebagai tabir yang menghalang musuh dari mengganggu umat Islam, juga menjaga perhubungan (perpaduan) dalam kalangan masyarakat, menjaga kehormatan Islam, menjadi yang ditakuti (dihormati) rakyatnya, dan mereka berlindung kepadanya. Berperang di belakangnya pula, maksudnya adalah berperang bersama pemimpin melawan orang-orang kafir, pembangkang (atau pemberontak), kaum khawarij, setiap orang yang melakukan kerosakan (ahli fasad), dan mereka yang melakukan kezaliman secara umum.” (Syarah Shahih Muslim)