Wednesday, 24 June 2020

SEJARAH, PERANAN DAN CABARAN BAHASA MELAYU


1.1 PENDAHULUAN
            Bahasa Melayu merupakan sejenis bahasa Melayu-Polinesia yang mana bahasa tersebut daripada rumpun Bahasa Austronesia. Bahasa Melayu digunakan sejak lebih 1000 tahun di Malaysia, Indonesia dan persekitarannya. Bahasa Melayu dituturkan di Malaysia, Indonesia, Brunei, Selatan Thailand, Filipina, Kemboja, Vietnam, Sri Langka dan Afrika Selatan.
            “Menurut statistik penggunaan bahasa di dunia, penutur Bahasa Melayu dianggar berjumlah lebih 300 juta (bersama penutur Bahasa Indonesia) dan merupakan bahasa ke-empat dalam turutan jumlah panutur terpenting bagi bahasa-bahasa di  dunia selepas bahasa Mandarin, Bahasa Inggeris dan Bahasa Hindi. Selain itu, dilaporkan sebanyak 70,000 orang mapu bertutur bahasa Melayu di Sri Langka, manakala di China terdapat radio dalam  Bahasa Melayu. Bahasa Melayu juga diajar di universiti-universiti di United Kingdom, Amerika Syarikat, Australia, Belanda, China, Jerman, New Zealand dan beberapa tempat lain”, (Wikipedia, ensiklopedia bebas, 2016, Mac 8).
            Bahasa Melayu merupakan bahasa kebangsaan bagi Malaysia, Indonesia, Brunei dan Singapura. Bahasa Melayu dikenali sebagai Bahasa Indonesia di Indonesia. Indonesia berjaya menjadikan Bahasa Indonesia sebagai bahasa pengantaraan utama bagi negaranya yang berbilang kaum hasil usaha gigih kerajaannya. Walaupun beratus-ratus bahasa dituturkan di Indonesia, namun Bahasa Indonesia merupakan bahasa pengantarnya. Hal ini berlainan yang terjadi di Malaysia, Brunei dan Singapura yang mana Bahasa Inggeris digunakan secara meluas oleh bangsa Cina dan India. Walaubagaimanapun, Bahasa Melayu pernah menjadi bahasa lingua franca di Alam Melayu tetapi tidak sekarang disebabkan beberapa faktor seperti kedatangan penjajah dan lebih-lebih lagi sekarang dalam menghadapi arus globalisasi, kedudukan Bahasa Melayu lebih tergugat. Jadi, sebagai orang Melayu, kita bertanggungjawab dalam memartabatkan semula Bahasa Melayu dipersada dunia.


 1.2 SEJARAH BAHASA MELAYU
            Hendrik Kern (Belanda) dan Robert Von Heine Geldern (Austria) merupakan sarjana Eropah. Mereka telah melakukan kajian secara kasar tentang latar belakang dan pergerakan masyarakat Melayu Kuno. Hasil kajian mereka, mereka menyatakan bangsa Melayu berasal dari kelompok Austronesia iaitu kelompok manusia yang berasal dari daerah Yunan di China. Kemudian, mereka perpindah di dalam beberapa bentuk gelombang manusia dan akhirnya menduduki wilayah Asia Tenggara.
            Gelombang pertama berlaku kira-kira 2500 tahun sebelum masehi dikenali sebagai Melayu-Proto. Kemudian, kira-kira 1500 tahun sebelum masehi, datang pula gelombang kedua yang dikenali sebagai Melayu-Deutro. Mereka mendiami di kawsan-kawasn yang subur di pinggir pantai dan kawasan tanah lembap di Asia Tenggara. Kehadiran meraka di kawasan-kawasan yang subur menyebabkan oranr-orang Melayu_proto seperti Jakun, Mahmeri, Jahut, Temuan, Biduanda dan beberapa kelompok kecil yang lain telah berpindah ke kawasan hutan dan pedalaman.
            Ahli bahasa telah membahagikan perkembangan Bahasa Melayu kepada tiga tahap utama iaitu Bahasa Melayu kuno, Bahasa Melayu  Klasik dan Bahasa Melayu Moden.
            Bahasa Melayu kuno digunakan pada abad ke 7 hingga abad ke 13 semasa pemerintahan kerajaan Srivijaya. Pada masa itu, Bahasa Melayu Kuno telah menjadi lingua franca dan bahasa pentadbiran kerana ia mudah diterima oleh orang luar. Bahasa Melayu tidak terikat kepada perbezaan lapisan masyarakat dan mudah dipelajari berbanding Bahasa Jawa. Pada masa itu, orang-orang Melayu berpegang kepada ajaran Hindu jadi, Bahasa Melayu banyak dipengaruhi oleh sistem Bahasa Sanskrit. Bukti penggunaan Bahasa Melayu Kuno boleh dilihat pada batu bersurat yang dijumpai di Kedukan Bukit, Palembang pada 683 masehi dan batu bersurat di Kota Kampur, Pulau Bangka pada 686 masehi yang mana, batu bersurat itu ditulis dengan huruf Palawa.
            Bahasa Melayu Klasik pula bermula pada abad ke 13, yang mana ia merupakan zaman peralihan di Kepulauan Melayu dan berkembangnya agama Islam di sini. Agama Islam telah mempengaruhi bangsa dan bahasa di sini. Pengaruh India sedikit demi sedikit mulai berkurangan dan diganti oleh pengaruh Islam dan Arab. Kegemilangan Bahasa Melayu Klasik boleh dibahagikan kepada tiga zaman iaitu zaman kerajaan Melaka, kerajaan Acheh dan kerajaan Johor-Riau.
            Kerajaan Melayu Melaka telah berjaya membina empayar yang luas dan sekaligus berjaya meningkatkan perkembangan Bahasa Melayu di rantau ini. Walaupun Kesultanan Melayu Melaka jatuh ketangan Portugis pada tahun 1511 masehi namun, keadaan ini tidak menamatkan pengaruh Bahasa Melayu. Ramai di antara mereka menjalankan penyelidikan dan menyimpan cacatan mengenai bahasa dan kesusasteraan Melayu. Pada awal abad ke 18, Francios Valentijin, yang merupakan seorang pendeta dan ahli sejarah bangsa Belanda menyatakan Bahasa Melayu bukan sahaja dituturkan di kawasan pinggir laut tetapi, digunakan juga di Kepulauan Melayu dan di negeri-negeri Timur. Di antara bukti tinginya martabat Bahasa Melayu dan luasnya penggunaannya adalah surat Sultan Acheh kepada Kapitan Inggeris, James Lancester pada 1601 dan surat Sultan Alauddin Shah dari Acheh kepada Harry Middleton pada 1602.
            Bahasa Melayu Moden pula bermula pada abad ke 19 yang mana hasil karangan Munsyi Abdullah dianggap sebagai permulaan zaman Bahasa Melayu moden kerana sifat bahasanya dikatakan agak menyimpang dengan bentuk Bahasa Melayu klasik.
            Sebelum penjajahan British ke kepulauan Melayu, bahasa Melayu mencapai kedudukan yang tinggi dan berfungsi sebagai bahasa pengantaraan, pentadbiran dan bahasa pengantan dalam pembelajaran agama Islam. Namun, selepas Perang Dunia kedua, British mengubah dasar dan menjadikan Bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar di dalam sistem pendidikan. Mulai saat itu, kedudukan Bahasa Melayu mula tergugat.


 1.3 PERANAN BAHASA MELAYU SEBGAI BAHASA LINGUA FRANCA
            Menurut Wikipedia, ensiklopedia bebas (9 Mac 2013), “Lingua franca berasal dari Bahasa Itali, bererti bahasa Frank atau bahasa perantara merupakan bahasa pengantara yang digunakan secara sistematik untuk tujuan perhubungan antara orang-orang yang tidak sama bahasa ibundanya, khususnya bahasa ketiga yang berbeza dari bahasa ibunda kedua belah pihak. Lingua franca ditakrifkan berdasar fungsi tanpa mengambil kira sejarah atau struktur bahasa itu. Walaupun ada bahasa campuran yang berperanan sebagai lingua franca, namun kebanyakakn lingua franca bukan bahasa campuran. Istilah linggua franca juga bermaksud bahasa yang dikhususkan dalam bidang tertentu seprti Bahasa Inggeris untuk kajian sains”.
            Sejarah telah membuktikan bahawa Bahasa Melayu pernah menjadi lingua franca bagi negara-negara di Asia Tenggara sejak zaman berzaman lagi. Ia dijadikan bahasa komunikasi di antara penduduk nusantara dan kaum pendatang seperti pedagang, diplomat dan pengembara.
            Bahasa Melayu juga pernah menjadi bahasa lingua franca di zaman kegemilangan Melayu Melaka di mana bahasa ini dituturkan oleh semua pedagang dari Arab, Cina, India dan Eropah. Pada masa itu, Bahasa Melayu dianggap sebagai bahasa komunikasi antarabangsa. Hal ini dapat dibuktikan apabila seorang pengembara Cina bernama I-Tsing yang telah singgah di Srivijaya pada tahun 672 masihi yang menyatakan Bahasa Melayu digunakan secara meluas di Palembang. Ini membuktikan bahawa bahawa Bahasa Melayu pernah menjadi bahasa antarabangsa sejak zaman empayar Srivijaya iaitu pada abad ke 7 sehingga abad ke 19. Ini bermakna, Bahasa Melayu pernah menjadi bahasa perdagangan dan perhubungan antarabangsa. Selain itu, Francois Valentijin yang merupakan seorang sarjana Belanda menyifatkan Bahasa Melayu mempunyai taraf dan peranan yang sama dengan Bahasa Latin dan Bahasa Perancis di Benua Eropah dan menjadi bahasa perhubungan antarabangsa.
            Bahasa Melayu telah mencatatkan sejarahnya tersendiri apabila Parlimen telah meluluskan Akta Bahasa Kebangsaan 1967 yang mana, Bahasa Melayu wajib digunakan sebasai bahasa rasmi dalam semua urusan rasmi negara Malaysia dan menggantikan tempat Bahasa Inggeris setelah sepuluh tahun Semenanjung Tanah Melayu mencapai kemerdekaan.
            Hasil daripada peristiwa tersebut, Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong telah mengistiharkan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara bagi Persekutuan Malaysia pada 1 September 1967. Bahasa Melayu dijadikan bahasa kebangsaan dan tercatat dengan jelas pada Perkara 152, Perlembagaan Persekutuan Malaysia.
            Bahasa Melayu mempunyai penutur yang ramai di dunia dan menjadi antara sepuluh bahasa yang mempunyai ramai petutur. Bilangan petutur ini semakin meningkat dari masa ke semasa. Namun, ia tidak dianggap sebagai kuasa bahasa utama kerana terpaksa bersaing dengan bahasa lain terutamanya Bahasa Inggeris. Bahasa Melayu juga dipandang sinis dari segi keilmuan dan ketamadunan jati diri bangsa kerana beberapa faktor.
           

 2.0 Cabaran Bahasa Melayu Dalam Menghadapi arus Globalisasi
            Bahasa Melayu mula mengalami kemerosotan sebagai lingua franca di rantau kepulauan-kepulauan Melayu pada permulaan abad ke 20 yang mana penjajah- penjajah barat mula menjajah. Inggeris mula menjajah Semenanjung Tanah Melayu dan Utara Borneo, Belanda menjajah Kepulauan Sumatera, Jawa, Selatan  Borneo, Sulawesi, Meluku, Madura dan Bali manakala, Spanyol menjajah Kepulauan Filipina. Keadaan ini menyebabkan kedudukan Bahasa Melayu mula merosot yang mana pihak penjajah telah memaksa kita menggunakan bahasa mereka sebagai bahasa rasmi dan bahasa pengantar pendidikan terhadap jajahan takluk mereka. Setelah kemerdekaan dicapai barulah Bahasa Melayu dikembalikan kedudukannya sebagai bahasa rasmi, bahasa kebangsaan dan bahasa lingua franca di rantau ini.
            Namun begitu, langit tidak selalu cerah. Setelah 52 tahun Malaysia mencapai kemerdekaan dan setelah 32 tahun dasar Bahasa Melayu dilaksanakan sepenuhnya sebagai bahasa pengantar dalam pendidikan, Bahasa Melayu mula menghadapi cabaran apabila Akta Pendidikan 1996 dan Akta IPTS 1996 diluluskan. Melalui akta tersebut, Institut Pendidikan Tinggi Swasta dibenarkan menggunakan Bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar. Keadaan ini menyebabkan IPTS lebih cenderung menggunakan Bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar dan meminggirkan Bahasa Melayu. Keadaan ini menyebabkan Bahasa Melayu terpaksa bersaing dengan Bahasa Inggeris. Walaupun Bahasa Melayu dijamin di dalam perlembagan 152 namun, kedudukannya sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan bukanlah satu jaminan yang kukuh. Tidak mustahil suatu hari nanti apabila seseorang yang tidak boleh berbahasa Inggeris tidak diterima bekerja di syarikat swasta.
            Pada tahun 2003, kerajaan mewajibkan penggunaan Bahasa Inggeris dan bagi mata pelajaran Matamatik dan Sains di semua peringkat. Namun begitu, pejuang-pejuang bahasa bersatu hati dan mengembeleng tenaga untuk memastikan Bahasa Melayu mendapat tempat di negara ini sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, Perkara 152. Hasilnya, pada tahun 2012, penggunaan Bahasa Inggeris untuk matapelajaran Sains dan Matamatik dihapuskan. Hal ini telah menjadikan Bahasa Melayu kembali dominan dan perkasa.
            Bidang teknologi maklumat amat penting sekarang dan hal ini memberi kesan disegi penggunaan bahasa teknologi maklumat. Sebagaimana yang kita tahu, bahasa teknologi maklumat yang paling dominan di dunia ialah Bahasa Inggeris. Jadi, keadaan ini memberi kesan kepada penggunaan Bahasa Melayu dalam teknologi maklumat. Mampukah Bahasa Melayu menghadapi cabaran ini? Bagaimana pula dengan tokoh-tokoh dan penggiat-penggiat Bahasa Melayu? Mereka hendaklah menggunakan ICT sebagai alat penyelidikan, perkakasan, perisian dan aplikasi untuk pembangunan Bahasa Melayu. 
            Di antara cabaran lain yang dihadapi oleh Bahasa Melayu pada masa kini adalah sikap penuturnya. Sesetengah penutur merasa malu untuk menggunakan Bahasa Melayu. Mereka sudah terdidik denagn Bahasa Inggeris dan lebih selesa bercakap dengan mengunakan Bahasa Inggeris. Begitu juga dalam suatu seminar dan perbentangan, mereka lebih suka menggunakan Bahasa Inggeris.
            Selain itu, Bahasa Melayu juga menghadapi cabaran dikalangan penggunanya sendiri yang mana mereka suka menggunakan bahasa rojak, istilah yang silap, perkataan yang silap dan struktur ayat yang silap. Di antara contoh bahasa rojak ialah “toilet kat mana?”. Di antara contoh penggunaan perkataan yang salah tapi lazim digunakan ialah “sila alihkan kenderaan anda dengan kadar segera”. . Banyak pengacara majlis atau pengacara sesuatu program suka menggunakan bahasa rojak dan melakulan beberapa kesilapan apabila menggunakan Bahasa Melayu samada dari segi tata bahasa, struktur ayat, penggunaan perkataan dan sebagainya. Sekiranya hal ini tidak dibendung, ia akan memberi kesan kepada kedudukan Bahasa Melayu.
            Penggunaan perkataan yang ringkas dalam sistem pesanan ringkas dan whatapps juga boleh merosakkan nilai Bahasa Melayu. Di antara perkataan yang sering digunakan adalah camne (macam mana), a'kum (assalammualaikum), korg (awak), sy (saya) dan awk (awak). Keracunan Bahasa Melayu di abad ke 21 boleh merosakkan kehalusan dan keintelektualan Bahasa Melayu. Hal ini akan merosakkan kewibawaan Bahas Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa pendidikan dan akan disisihkan oleh penggunanya sedikit demi sedikit.
            Penggunaan bahasa ibunda tidak menghalang sesebuah negara itu untuk berkembang maju. Hal ini dapat dibuktikan oleh Negara Jepun Korea dan Prancis yang mana mereka membangun dengan pesat dengan menggunaknan bahasa mereka sendiri sebagai bahasa ilmu. Jadi, kita hendaklah mengubah pandangan kita terhadap Bahasa Melayu dan menangkis keraguaan kita terhadap bahasa kita. Menguasai Bahasa Inggeris dengan baik bukanlah jaminan sesebuah negara akan berkembang maju. Fikir dan renunglah.


 3.0 BUKTI PENCEMARAN PENGGUNAAN BAHASA MELAYU
            Maksud pencemaran bahasa adalah penggunaan bahasa yang tidak betul dalam masyarakat (Kamus Dewan, 2007). Hal ini merangkumi tatabahasa, struktur ayat, ejaan, istilah, penggunaan bahasa rojak dan sebagainya. Di antara ciri-ciri pencemaran bahasa adalah menggunakan bahasa rojak, menggunakan bahasa yang tidak menepati tatabahasa dan juga laras bahasa. Hal ini menyebabkan bahasa yang digunakan menjadi tidak standard. Di bawah ini adalah beberapa contoh pencemaran bahasa yang benar-benar berlaku di kalangan masyarakat kita.
Pencemaran bahasa yang terdapat pada gambar di atas ialah penggunaan perkataan 'flash'. Sebagaimana yang kita tahu, 'flash' adalah perkataan Bahasa Inggeris yang bermaksud kilat manakala, 'flush' bermaksud jirus. Jadi, kita hendaklah menggantikan perkataan tersebut dengan perkataan 'jirus'.

Kesalahan bahasa yang terdapat dalam gambar ini adalah penggunaan perkataan 'cashier'. 'Cashier' adalah perkataan bahasa Inggeris yang bermaksud juruwang. Ayat yang sesuai dan betul adalah ' sila bayar di kaunter pembayaran'.

Ayat yang sesuai untuk menggantikan penyalahgunaan bahasadi atas adalah, “ Sila tutup paip air selepas menggunakannya”.


Penggunaan perkataan yang betul adalah “pisang goreng” dan “keledek goreng”.

Mereka menggunakan dielek Kelantan. Bahasa yang standard sepatutnya “Belajar sehingga pandai, perangai hendaklah baik, hidup biarlah boleh beri kebaikkan kepada orang lain”.

Pencemaran bahasa boleh memberi pelbagai kesan negatif antaranya menyebabkan mutu Bahasa Melayu merosot samada disegi penulisan atau lisan. Sekiranya hal ini tidak dibendung, lama kelamaan bahasa tersebut menjadi sebati dengan seseorang individu tersebut dan menyebabakan mutu bahasa semakin menurun.

            Pencemaran bahasa merupakan isu yang agak serius dan semakin meningkat sejak akhir-akhir ini. Jadi, pihak-pihak tertentu hendaklah menjalankan tugasnya dengan serius agar bahasa Melayu berada di tahap yang penting terutamanya dalam bidang perniagaan dan pendidikan. Perdana Menteri juga haruslah memainkan peranan yang penting dalam hal ini. Beliau hendaklah menekankan penggunaan Bahasa Melayu dalam ucapan rasminya dan apabila ditemu bual oleh wartawan. Apabila beliau menggunakan bahasa kebangsaan dengan baik dan kerap, ia akan menjadi ikutan orang ramai.


4.0 LANGKAH-LANGKAH BAGI MEMPERKASAKAN DAN MEMERTABATKAN BAHASA MELAYU DI DUNIA
            Sebagai rakyat Malaysia, kita perlulah berbangga dengan bahasa kita. Bahasa ibunda tidak harus dikorbankan atas nama kemajuan dan pembangunan. Sebagaimana yang telah dicapai oleh negara maju seperti Jepun dan Korea Selatan. Walaupun mereka mencapai kemajuan namun, tetapi mereka tetap mempertahankan bahasa mereka. Kajian juga telah menunjukkan bahawa sesuatu ilmu itu lebih mudah difahami dan diingati apabila ia diajar di dalam bahasa ibunda. Oleh itu, pihak tertentu  perlu melakukan sesuatu bagi memartabatkan Bahasa Melayu dipersada Dunia. Pelbagai strategi perlu dilakukan bagi memertabatkan Bahasa Melayu.
            Antara langkah-langkah yang perlu diambil adalah dengan menggesa semua urusan rasmi dan surat-menyurat di semua jabatan kerajaan hendaklah menggunakan bahasa Melayu. Sejak akhir-akhir ini, ada jabatan-jabatan kerajaan lebih suka memilih Bahasa Inggeris berbanding bahasa ibunda dalam urusan rasmi kerana Bahasa Inggeris dianggap mempunyai darjat yang tinggi berbanding bahasa Melayu. Sifat ini dianggap seperti kacang melupakan kulit kerana mereka lupa bahawa bahawa ibundalah yang mematangkan pemikiran kita.
            Semua pegawai dan kakitangan kerajaan juga hendaklah menggunakan Bahasa melayu dengan betul bukan sahaja dalam urusan surat-menyurat, tetapi juga melalui lisan. Mereka hendaklah menggunakan Bahasa Melayu yang betul apabila berurusan dengan rakan sekerja dan pelanggang. Hal ini menjadikan orang ramai selesa berurusan dengan jabatan kerajaan lebih-lebih lagi orang kampung.
            Selain itu, kerajaan hendaklah memperketatkan undang-undang berkaitan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil kerana sekolah-sekolah ini mampu memperkasakan bahasa Cina dan Tamil  dan sekaligus menjatuhkan martabat Bahasa Melayu. Jika dilihat dari sudut yang lain, kewujudkan sekolah-sekolah tersebut akan menimbulkan isu perkauman dan tidak sejajar dengan matlamat 1Malaysia. Sebagaimana yang kita lihat sekarang, walaupun negara kita telah mencapai kemerdekaan selama lebih 50 tahun namun, namun majoriti rakyat malaysia lebih selesa bergaul sesama bangsa.
            Guru juga hendaklah menjadi contoh yang baik kepada pelajar dalam penggunaan bahasa yang teratur dan betul. Pelajar juga hendaklah mengikis tanggapan bahawa Bahasa Melayu begitu mudah dipelajari kerana ia merupakan bahasa ibunda. Pelajar hendaklah mendalami Bahasa Melayu secara serious kerana merekalah menentukan masa depan bahasa Melayu.
            Pihak-pihak tertentu juga hendaklah memastikan Bahasa Melayu digunakan dengan betul samada disegi ejaan, sebutan, istilah dan tatabahasa dalam semua hal dan keadaan seperti mesyuarat, surat-menyurat, papan tanda, papan kenyataan, iklan, dokumen rasmi, premis perniagaan, kawasan perumahan dan sebagainya. Tindakan tegas perlu diambil sekiranya perlu bagi mereka yang mencemarkan Bahasa Melayu.
            Sebagaimana yang kita tahu, terdapat banyak papan tanda yang menggunakan bahasa rojak. Jika kes ini dibiarkan berterusan, generasi masa kini tidak tahu menggunakan perkataan dan membuat ayat dengan betul. Jadi, pihak  berkuasa tempatan tidak boleh berpeluk tubuh sahaja. Sebaliknya, mereka perlu mengambil tindakan undang-undang bagi menyedarkan pihak berkenaan bahawa Bahasa Melayu bukanlah sesuatu mainan komersial. Hal ini penting untuk memastikan rakyat berpegang teguh dengan bahasa ibunda.
            Cabaran teknologi maklumat juga sangat hebat namun, kita hendaklah mempelajari bahasa teknologi maklumat supaya perbendaharaan kata berkaitan dengan teknologi maklumat diperkayakan di dalam Bahasa Melayu. Jadi, kita hendaklah berfikiran positif. Kita hendaklah mempertahankan bahasa kita namun, pada masa yang sama, Bahasa Inggeris tetap dipelajari. Namun begitu, kita hendaklah berusaha  menjadikan Bahasa Melayu seiring dengan perkembangan teknologi maklumat yang mana, Bahasa Melayu tidak perlu bersaing dengan teknologi maklumat sebaliknya, ia perlu bersepadu dengan teknologi maklumat. Kita perlu contohi Jepun, yang mana mereka tidak berganjak daripada menggunakan bahasanya walaupun dunia ini berubah dan berkembang maju.
            Masa depan Bahasa Melayu terletak pada rakyat Malaysia. Seandainya rakyat Malaysia meletakkan rasa bangga terhadap bahasa mereka, mereka tidak akan melakukan perkara-perkara yang menjatuhkan martabat Bahasa Melayu dan akan menjaga jati diri mereka. Walaupun mereka fasih berbahasa Inggeris namun, mereka tahu  masa yang sesuai menggunakan bahasa tersebut. Maka, tidak akan timbul persaingan di antara dua bahasa tersebut dan Bahasa Melayu tidak akan berada di dalam keadaan dilema.


 5.0 KESIMPULAN
            Malaysia mempunyai pelbagai kaum dan juga mempunyai pelbagai bahasa. Namun begitu, Bahasa Melayu menjadi bahasa pengantaraan di antara semua bangsa. Walaupun Bahasa Melayu merupakan Bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan, namun ia tidak menghalang rakyatnya daripada bertutur menggunakan bahasa ibundanya dan juga mempelajari mana-mana bahasa pun.
            Sejarah memainkan peranan penting dalam mempengaruhi pembentukan dasar bahasa di Malaysia. Setelah Bahasa Melayu mula terhakis disebabkan kedatangan penjajah, orang Melayu cuba untuk mengambalikan semula kedudukan Bahasa Melayu melalui Laporan Barnes 1951. Kemudian diikuti pula oleh Penyata Razak 1956, Laporan Rahman Talib dan pelbagai usaha lain sehingga ia termaktub di dalam Perlembagaan Malaysia.
            Namun begitu, walaupun secara realitinya Bahasa Melayu seolah-olah kukuh disegi perundangan dan perlembagaan Malaysia kerana Perkara 152 Perlembagaan Malaysia  tetapi secara tersiratnya, Bahasa Melayu hilang daya untuk bersaing dengan bahasa lain di dunia ini.


No comments:

Post a Comment